Semua orang mesti pernah mengalami demam. Ia sebenarnya bukanlah satu penyakit tetapi keadaan di mana berlakunya ketidakseimbangan suhu dalam tubuh badan. Ia juga merupakan isyarat awal masalah kesihatan lain dengan ciri-ciri peningkatan suhu melebihi julat biasa (36.5-37.5 °C).

Sebenarnya, terdapat pelbagai cara untuk meredakan demam biasa di peringkat awal. Sebahagian orang lebih gemar berikhtiar sendiri menggunakan kaedah tradisional dan saintifik sebelum memakan ubat atau berjumpa doktor.

Petua meredakan demam kanak-kanak (Saintifik)

Cara meredakan demam kanak-kanak terutamanya bayi secara saintifik sebenarnya tidak jauh berbeza dengan orang dewasa. Beri minuman yang secukupnya dan sapukan badan mereka dengan kain basah.

Elakkan dari memakai pakaian tebal atau berselimut. Bagi bayi pula, cukup hanya sekadar memakai lampin agar suhu panas dapat dikeluarkan dengan mudah. Beberapa cara tambahan lain adalah seperti berikut:

1. Menggunakan pelekat jel seperti "Koolfever"
Penggunaan pelekat jel seperti Koolfever pada kanak-kanak adalah salah satu cara termudah meredakan suhu badan. Kanak-kanak biasanya tidak begitu menyukai kain basah yang diletakkan pada badan mereka.

2. Ubat demam dalam bentuk cecair
Campurkan ubat demam berbentuk cecair seperti paracetamol ke dalam minuman atau botol air anak anda. Pastikan anda menyukat dos yang betul mengikut kesesuaian umur.

3. Makanan mudah hadam
Jangan biarkan anak anda yang demam dalam keadaan perut kosong. Walaupun mereka tidak mempunyai selera, pilihan makanan seperti sup dan bubur adalah lebih mudah dimakan.

4. Pemantauan yang kerap
Sentiasa memantau suhu anak anda yang mengalami demam. Gunakan jangkasuhu (termometer) bagi mengetahui bacaan pada anak dari masa ke semasa. Jangan biarkan anak anda tidur bersendirian agar dapat bertindak cepat sekiranya suhu badan mereka naik tinggi melebihi 39°C. Ini kerana mereka cenderung untuk terkena sawan jika suhu terlalu tinggi.


Petua meredakan demam kanak-kanak (Tradisional)

Beberapa kaedah tradisional untuk meredakan demam orang dewasa juga boleh dipraktikkan ke atas kanak-kanak seperti minum air kelapa dan menyapu isi lidah buaya (aloe vera) pada badan.

Selain itu, beberapa kaedah lain untuk meredakan demam kanak-kanak secara tradisional adalah seperti berikut:

1. Bunga raya
Lendiran yang ada pada kelopak bunga kebangsaan ini dikatakan mampu untuk mengurangkan demam pada kanak-kanak. Tumbuk dan gumpalkan daun bunga raya sebelum dilumurkan di bahagian kepala dan dada.

2. Bawang putih
Bakar sedikit bawang putih bersama kulitnya. Kemudian ketuk sedikit sepaya bawang merekah dan campurkan dengan minyak bayi. Sapukan minyak itu di bahagian dada, tapak kaki, betis dan pangkal hidung.

3. Halia
Biasanya, kanak-kanak pasti menolak jika diminta makan halia mentah atau masakan berasaskan halia yang banyak. Anda boleh masukkan hirisan kecil halia ke dalam botol susu atau minuman mereka.

4. Telur rebus
Kupas telur rebus dengan cermat agar telur tidak pecah. Kemudian balutkan telur dengan kain atau tuala bersih. Golekkan telur di kawasan badan anak yang panas secara perlahan-lahan bagi mengelakkan telur pecah.

Apabila telur sudah suam, keluarkan ia dari balutan kain dan sambung menggolek sehingga telur menjadi sejuk. Biasanya proses menggolek ini memakan masa sekitar 15 hingga 20 minit.

Apabila selesai, biarkan telur selama 10-15 minit. Apabila anda memotong telur itu, anda akan dapati kuning telur itu kelihatan menggerutu. Sekiranya suhu belum reda, anda boleh mengulangi proses ini sebanyak tiga kali sehari.


Bilakah perlu berjumpa doktor?

Biasanya, kaedah-kaedah yang dinyatakan di atas dapat merawat demam dan meredakan suhu badan. Namun, anda disarankan untuk berjumpa doktor jika mengalami gejala-gejala seperti berikut:
Suhu masih tinggi dan rawatan awal di rumah tidak membantu
Demam setelah pulang dari luar negara
Gejala-gejala lain seperti ruam, pendarahan, sawan, sesak nafas, sakit-sakit sendi, atau bengkak-bengkak badan
Sakit perut, mata dan tulang pipi
Mempunyai penyakit seperti kencing manis dan barah
Tiada perubahan selepas 4-5 hari
Demam disebabkan kecederaan