Allah menguji manusia dengan pelbagai cara dan tahap. Tanpa ujian, kehidupan ini sekadar satu perjalanan biasa. Di antara ujian biasa dihadapi ialah sakit. Mungkin ramai menganggap penyakit perkara lumrah dan semua orang mengalami pelbagai jenis penyakit. Hakikatnya, penyakit merupakan ujian perlu kita sedari ia menguji keimanan.


Bagi Ibnu Taimiyah, penyakit dianggap sebagai zakat kesihatan. Kita dianugerahkan rezeki sihat. Dalam tempoh masa tertentu kita mendapat sihat dan dapat melakukan tugasan hidup dengan selesa, segar dan kuat.



Masa kita sakit, ia mengingatkan nikmati sebenar sihat. Dengan itu kita sedar bahawa keadaan sihat tersebut dikurniakan oleh Allah yang menjadi hak untuk Allah menariknya pada bila-bila masa. Allah memberi ujian dengan sakit agar kita tidak lupa nikmat sihat yang diberikan, seterusnya sedar apakah yang perlu dilakukan dengan nikmat tersebut.



Sifat manusia memang mudah lupa. Sekiranya diberikan sedikit peringatan, bagi orang beriman mudah timbul rasa keinsafan di dalam diri. Apabila diri mengalami sakit, dilakukan muhasabah diri apakah kesalahan atau dosa yang telah dilakukan.



Muhasabah diri memberi peluang untuk membetulkan diri. Sebagai seorang Muslim, kita perlu menyedari setiap tanda yang diturunkan oleh Allah. Setiap Qada dan Qadar Allah terhadap kehidupan ini ada hikmahnya.



Justeru, jika kita ditimpa penyakit, fikir-fikirkan tentang apakah isyarat yang Allah berikan. Dalam menghadapi ujian tersebut, keterbukaan fikiran amat penting. Semua perkara ada penyelesaiannya. Begitu juga setiap penyakit ada ubatnya.



Dalam sebuah hadis diriwayatkan Abu Daud, Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit, dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubat, kerana itu hendaklah kamu semua berubat, dan jangan berubat dengan benda yang haram.”



Ujian penyakit bukan sahaja dialami di kalangan orang biasa, bahkan para nabi. Nabi Ayub menderita sakit kusta selama 16 tahun sehingga seluruh keluarga meninggalkannya.
Namun, setelah Allah menyembuhkan kembali penyakit itu, seluruh ahli keluarga kembali kepadanya. Peristiwa tersebut dijadikan pengajaran bagi mereka ingin mengambilnya.



Hakikatnya, Allah tidak menurunkan ujian, melainkan ada hikmahnya mengikut apa telah Dia tetapkan. Salah satu hikmah di sebalik bala (termasuk penyakit) ialah menghapuskan dosa.



Allah menghapuskan dosa-dosa hamba-Nya melalui pembalasan bala di dunia. Bagaimanapun, dosa-dosa yang dihapuskan itu tidak termasuk dosa syirik, dosa terhadap ibu bapa dan dosa kesalahan terhadap orang lain seperti menumpat dan fitnah. Dosa dilakukan terhadap orang lain tidak dihapuskan, melainkan setelah orang berkenaan memberi kemaafan.



Pengampunan dosa melalui musibah hanya berkesan jika kita menginsafi musibah itu, yakni menerima dengan reda, sabar dan memohon keampunan kepada Allah dengan bertaubat, serta meninggalkan perbuatan-perbuatan dosa.



Firman Allah bermaksud: “Mereka yang ditimpa musibah mengucapkan, ‘kita semua kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan kembali’. Mereka itulah akan mendapat keberkataan sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan juga orang yang mendapat petunjuk.” - (Surah al-Baqarah, ayat 156-157).



Sebaliknya, jika musibah itu dihadapi dengan perasaan angkuh, duka cita, tidak sabar dan menentang takdir, maka jadilah ia sebahagian daripada balasan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat nanti.



Bencana penyakit yang melanda perlu ditangani dengan tenang dan berkesan. Rakyat tidak seharusnya menunjukkan perasaan cemas atau kelam kabut, tetapi jangan pula menganggap seperti tidak ada apa-apa.



Langkah berjaga-jaga yang disarankan oleh kerajaan perlu dipatuhi bagi ia merabak. Di samping melakukan pelbagai langkah secara fizikal, Islam menganjurkan agar kita berdoa untuk kebaikan.



Firman Allah bermaksud: “Dan jika Allah menimpakan kepada kamu sesuatu bahaya, maka tiadalah yang dapat membebaskan kamu daripadanya kecuali Dia.” - (Surah Yunus, ayat 107).



Firman-Nya dalam surah ar-Rum, ayat 33 bermaksud: “Dan apabila manusia ditimpa kesusahan, mereka akan berdoa kepada Tuhannya serta bertaubat kepada-Nya.”



Justeru, bersama-samalah kita memanjat doa kepada Allah agar dilindungi daripada segala bahaya dan wabak penyakit. Semoga kehidupan ini aman dan bahagia.

SUMBER