Semua orang mesti pernah mengalami demam. Ia sebenarnya bukanlah satu penyakit tetapi keadaan di mana berlakunya ketidakseimbangan suhu dalam tubuh badan. Ia juga merupakan isyarat awal masalah kesihatan lain dengan ciri-ciri peningkatan suhu melebihi julat biasa (36.5-37.5 °C).

Sebenarnya, terdapat pelbagai cara untuk meredakan demam biasa di peringkat awal. Sebahagian orang lebih gemar berikhtiar sendiri menggunakan kaedah tradisional dan saintifik sebelum memakan ubat atau berjumpa doktor.



Petua meredakan demam orang dewasa (Saintifik)

1. Minum air dengan banyak
Ia merupakan cara paling mudah tetapi ramai yang tidak mengendahkannya. Meminum air yang mencukupi mampu menambah kehilangan bendalir dalam badan dan membuatkan tubuh kekal hidrat. Ia juga memudahkan proses membuang air kecil yang turut membawa keluar haba dari dalam badan.

2. Sapu badan dengan kain basah
Kaedah ini antara paling popular digunakan. Basahkan kain dengan air sejuk dan lapkan pada bahagian tubuh terutamanya bahagian ketiak dan dada. Setelah itu, perahkan kain dan diletakkan di bahagian dahi dan belakang leher. Kaedah ini dapat meredakan suhu panas badan.

3. Jangan berselimut
Kebanyakan orang suka berselimut seluruh badan ketika demam kerana kesejukan. Ini sebenarnya cara yang salah kerana ia akan meningkatkan lagi suhu badan. Sebaiknya gunakan pakaian yang tipis dan longgar agar peluh lebih cepat menyejat.

4. Air garam
Public Health Malaysia pernah berkongsikan khasiat air garam bagi meredakan demam. Sel tubuh akan menggunakan klorida dari garam untuk menghasilkan hypoclorus acid iaitu cecair peluntur yang berfungsi sebagai pemusnah virus.

Bagi masalah selesema, titiskan air garam di hidung. Selain membunuh virus, ia juga mampu mencairkan mukus pekat yang menyekat saluran pernafasan. Bagi sakit tekak dan batuk pula, berkumur dengan air garam mampu meredakan gejala dan merawat jangkitan.

5. Buah-buahan
Memakan atau meminum air dari buah-buahan segar seperti lemon, limau, belimbing, strawberi, timun, epal dan lain-lain mampu meredakan demam. Ini kerana buah-buahan mempunyai pelbagai jenis kelebihan seperti kalsium, magnesium, zat besi, asid folik, sodium, potasium dan pelbagai jenis vitamin.


Petua meredakan demam orang dewasa (Tradisional)

1. Minum teh herba atau halia
Meminum teh herba tertentu boleh membantu untuk membuka pori kulit anda dan menggalakkan tubuh untuk berpeluh. Selain itu, terdapat juga teh herba yang boleh merangsang tubuh untuk mengeluarkan peluh.

2. Air kelapa muda
Air kelapa muda dikatakan mempunyai kandungan elektrolit tinggi yang berkesan untuk meredakan panas dalam badan. Selain itu, air kelapa juga dapat mengatasi dehidrasi dan membuatkan tubuh berasa lebih segar.

3. Lidah buaya
Biasanya kulit tumbuhan lidah buaya atau aloe vera ini akan dibuang dan lendiran di dalamnya akan dilumurkan di seluruh badan. Lendiran yang menyejukkan ini dipercayai boleh meredakan suhu badan yang tinggi.

4. Asam Jawa
Ramaskan asam jawa dengan semangkuk air, sapukan air tersebut ke ubun-ubun dan seluruh bahagian badan lain sebelum tidur.

5. Makanan pedas
Sebahagian orang suka memakan makanan pedas ketika demam. Ini kerana makanan pedas dapat membuatkan kita berpeluh dengan mudah dan mampu melancarkan semula peredaran darah.


Bilakah perlu berjumpa doktor?

Biasanya, kaedah-kaedah yang dinyatakan di atas dapat merawat demam dan meredakan suhu badan. Namun, anda disarankan untuk berjumpa doktor jika mengalami gejala-gejala seperti berikut:
Suhu masih tinggi dan rawatan awal di rumah tidak membantu
Demam setelah pulang dari luar negara
Gejala-gejala lain seperti ruam, pendarahan, sawan, sesak nafas, sakit-sakit sendi, atau bengkak-bengkak badan
Sakit perut, mata dan tulang pipi
Mempunyai penyakit seperti kencing manis dan barah
Tiada perubahan selepas 4-5 hari
Demam disebabkan kecederaan