Epidemik, endemik dan pandemik merupakan terma dalam penularan wabak yang membawa maksud yang berbeza.
Susulan penularan virus Koronavirus (COVID-19) yang semakin membimbangkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan situasi itu sebagai pandemik. Apa itu pandemik?

Endemik

Endemik merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu.
Ini termasuk penularan wabak dalam skop yang lebih besar seperti melibatkan sebuah negara.
Perkara ini juga membawa makna kepunyaan atau berasal daripada sekumpulan manusia di sesuatu tempat tertentu.
Penyakit malaria yang menyerang kawasan-kawasan di benua Afrika satu ketika dulu adalah antara endemik yang mengancam dunia.
Tiga negara dalam dunia yang merekodkan wabak endemik paling tinggi adalah Republik Congo, Madagascar dan juga Peru.
Endemik lain yang tercatat dalam sejarah termasuk penyakit demam kuning dan malaria di Congo; wabak bubonik di Madagascar; dan wabak demam kuning, malaria dan demam denggi di Peru.

Epidemik

Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), epidemik membawa maksud penyakit berjangkit yang mudah merebak dalam kalangan penduduk sesuatu kawasan pada waktu yang sama.
Epidemik juga membawa maksud wabak yang menyerang sekumpulan manusia atau komuniti.
Terma ini digunakan sekitar tahun 1600 apabila berlakunya wabak dalam kelompok komuniti membabitkan orang Greek dan istilah itu masih kekal sehingga hari ini.
Contoh wabak epidemik yang melanda negara kita ialah serangan virus nipah yang menyerang komuniti di daerah Kinta, Perak pada tahun 1998.

Pandemik

Istilah pandemik merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata.
Wabak ini akan mengancam kawasan yang lebih luas seperti sebuah negeri, negara, benua atau mungkin juga seluruh dunia jika dibiarkan melarat.
Pandemik bermula daripada penularan wabak di peringkat epidemik yang merebak secara meluas sehingga tidak dapat dikawal dan mampu membunuh ramai orang dalam masa singkat.
Selain itu, kita juga perlu memahami sekiranya sesuatu wabak itu berada pada peringkat endemik danmenyerang satu negara misalnya, tetapi berada dalam keadaan terkawal, wabak itu tidak akan dikategorikan sebagai satu pandemik.
Antara pandemik yang pernah berlaku adalah wabak Antonine, wabak Jusne serta 'The Black Death' yang dipercayai membunuh puluhan juta orang sekitar abad ke 14.
Pada ketika ini, satu-satunya pandemik yang sedang berlaku adalah penyakit HIV/AIDS yang diramalkan mampu mengorbankan sehingga 100 juta orang pada tahun 2025 kelak.
Selain itu, krisis Koronavirus (COVID-19) yang menghantui seluruh negara ketika ini juga telah diklasifikasikan sebagai penularan wabak pandemik oleh WHO.